Selepas mengarah "Syurga Cinta" pada tahun 2009, Ahmad Idham kembali dengan sebuah lagi filem berbentuk Islamik berjudul "Aku Masih Dara" (AMD) yang bakal ditayangkan di pawagam pada 16 Disember akan datang.
Menampilkan pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), Yana Samsudin, Raja Farah dan Diana Amir sebagai peneraju utama, tajuk filem ini juga sudah pasti mampu membangkitkan kontroversi.
Jika sebelum ini Ahmad Idham menampilkan "nasi lemak 50 sen" dalam "Cuti-Cuti Cinta", kali ini "aku sangap lubang" dan "semua perempuan pakai tudung sebab nak cover lovebite" adalah antara petikan dialog yang boleh didengari ketika menonton AMD. Tambahan gaya seksi yang ditampilkan menerusi treler filem sahaja sudah cukup mampu menarik penonton ke panggung.
Selain Yana, Raja Farah dan Diana, AMD turut dilakonkan oleh Farid Kamil dan Ashraf Muslim. Yang pasti, ramai gadis-gadis akan mempunyai impian untuk mendapatkan suami idaman seperti Ustaz Firdaus iaitu watak yang dilakonkan oleh Ashraf selepas menonton filem ini.
Sebelum ke pawagam pada 16 Disember ini, apa kata kita tengok gambar-gambar daripada filem yang berdurasi 85 minit dan diklasifikasikan sebagai PG13 ini.